Feb 1, 2011

~ Coretan CINTA Buat Si Dia ~




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Tuhanku yang diriku di bawah penguasaanNYA dan sentiasa dalam pengawasanNYA, saya tidak menulis melainkan untuk mengabdikan diri kepadaNYA dan dengan izinNYA. Sesungguhnya saya menulis dengan penuh kasih sayang saya kepada awak sebagai seorang kekasih, sebagai seorang saudara seagama saya. Saya tidak inginkan melainkan kebaikan bagi diri awak dan bagi diri saya agar kita sama-sama beroleh SYURGA yang sangat kita impikan di pengakhiran sebuah perhitungan…

AWAK.......

Cinta ini letaknya di hati dan hati itu milik ALLAH. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin ALLAH dan jika ALLAH tidak memperkenankannya. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki ALLAH ini kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintahkan. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada ALLAH. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta ALLAH. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk ALLAH kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat ALLAH, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaanNYA. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik ALLAH. Jadikanlah cinta ini sebagai jalan menuju ALLAH, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka awak akan lebih tenang menerima segala penolakan.


AWAK.....

Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik ALLAH awak. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita REDHA dengan ketentuan ALLAH yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta ALLAH, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang ALLAH berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah ALLAH lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalasNYA dengan ketaatan yang sepatutnya???



AWAK.....

ALLAH menjanjikan perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Yakinlah akan janji ALLAH, sesungguhnya ALLAH tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar awak termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. ALLAH tahu tentang diri awak lebih daripada diri awak sendiri. Maka ALLAH telah menetapkan untuk awak lebih baik daripada apa yang awak kehendaki. Boleh jadi awak cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagi awak dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan kehidupan awak, apakah awak merasakan bahawa ALLAH tiada bersama awak? Bahkan DIA sentiasa mendengar dan melihat awak. Persoalannya, apakah awak sudah merintih padaNYA, meminta padaNYA dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepadaNYA? Saya berlindung dengan ALLAH agar kita terhindar daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri…. Nauzubillahhiminzalaikh,…

AWAK.......

Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah awak melihat TAJ MAHAL yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalan saya pada awak, apakah awak ingin berubah kerana cinta ke arah REDHA ALLAH atau mungkin lebih jauh daripada ALLAH???

AWAK,

Saya tidak mengatakan bahawa saya mengetahui segala isi hati awak atau segala kekacauan yang mengisi jiwa awak. Saya cuma ingin berpesan agar awak tidak meletakkan keinginan awak lebih tinggi daripada ketentuan ALLAH. Saya ingin awak mengerti bahawa milik ALLAH lah segala kejadian. Kemudiannya saya ingin awak membawa kefahaman tersebut kepada pengalaman dalam kehidupan yang awak lalui agar ia hidup bersama awak di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah awak mengatakan bahawa awak mentaati ALLAH di saat hidup awak bergelumang dengan maksiat. Saya juga seperti awak.  Maka saya berpesan kepada awak agar saya juga dipelihara ALLAH daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Saya memohon keampunan kepada ALLAH atas segala kesalahan yang saya ungkapkan dan saya mohon awak doakanlah kebahagiaan saya di dunia dan di akhirat. Moga kita dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.Saya akhiri nukilan ini dgn penuh kasih sayang saya pada awak, cinta saya pada awak keranaNYA dgn lafaz Assalamualaikum….





No comments:

Post a Comment